Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah mula ditubuhkan di semua sekolah
menengah di Malaysia pada tahun 1987. PRS merupakan satu program
sokongan kepada perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah di
mana ianya cuba membantu memenuhi tuntutan pelajar dalam bidang
akademik, peribadi, kerjaya, rohani, jasmani dan emosi sesuai dengan
harapan Falsafah Pendidikan Negara. Adalah dijangkakan seseorang PRS
yang terlatih akan mampu menjadi pemimpin pelapis di sekolah secara
berkesan, bertimbangrasa serta peka terhadap perasaan dan reaksi rakan
mereka.
PRS boleh dianggap sebagai
“Kaunselor Sebaya” yang dilantik samada
sukarela atau dipilih, mereka memberikan pertolongan kepada rakan-rakan
sebaya dengannya. Mereka bukan ahli profesional tetapi berupaya
menggunakan kemahiran asas kaunseling untuk menolong rakan.
PRS ialah seorang pelajar yang telah dilatih dalam bidang kemahiran
asas komunikasi dan kaunseling. Ia berfungsi sebagai seorang rakan yang
berkesan kepada rakan sebaya, terutama kepada mereka yang memerlukan
pertolongan.
PRS tidak bertugas untuk member nasihat dan tidak
menyelesaikan masalah rakan tetapi ia menjadi seorang pendengar yang
peka kepada perasaan orang lain, berminat dan mengambil berat serta
rela memberikan khidmat dalam sistem sekolah.
PRS boleh diertikan sebagai
Kaunselor Sebaya, Pembantu pelajar, Pembimbing Rakan, Peer Group Leader dsb.
Umumnya
PRS boleh kita fahamkan bahawa mereka adalah sekumpulan pelajar
biasa yang dipilih berdasarkan kepada ciri-ciri berikut:-
- Pelajar yang berminat melibatkan diri dalam aktiviti hubungan interpersonal yang berkesan.
- Mereka boleh terdiri daripada mewakili kelas, dorm ataupun individu.
- Mereka berpotensi untuk menjadi pemimpin dan berpotensi untuk berubah.
- Keistimewaan kepada mereka yang mempunyai kebolehan khas.
- Mereka mempunyai ciri-ciri menolong yang tinggi dan tidak mementingkan diri sendiri.
- Mereka yang berminat dengan hal-hal kemanusiaan.
- Mereka yang bersedia/berkeinginan untuk mempelajari sesuatu yang baru.